Kenali T-Assess

PENGENALAN T-ASSESS

Peperiksaan merupakan kaedah utama yang digunakan untuk mengukur pencapaian pelajar dalam sistem pendidikan di Malaysia untuk tempoh lebih daripada 50 tahun. Justeru, isu pendidikan berorientasikan peperiksaan sering dibincangkan oleh masyarakat sejak kebelakangan ini. Para ibu bapa dan ahli akademik menyarankan agar KPM mengkaji semula sistem pendidikan sedia ada. Ia dikatakan membunuh keseronokan dan kemeriahan alam persekolahan sehingga bersekolah disamaertikan dengan belajar untuk menghadapi peperiksaan (Adi Badiozaman, 2007).

Salah satu strategi SPPK (Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan) adalah untuk menyelesaikan isu tersebut. Menurut Adi Badiozaman, SPPK berfokus kepada tiga dimensi iaitu akademik, pembinaan karakter dan penglibatan pelajar dalam aktiviti ko-kurikulum. Sehubungan itu, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sebagai badan yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan pentaksiran pendidikan di peringkat sekolah sedang menyusun semula format peperiksaan awam. Dalam masa yang sama, rancangan memantapkan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sedang giat diusahakan. Menurut Ahamad Sipon (Berita Harian, 3 September 2007), PBS adalah kaedah penilaian terbaik disebabkan guru-guru merupakan pihak yang lebih mengenali pelajar. Selain itu, pentaksiran sekolah (formatif dan sumatif) akan terus kekal dilaksanakan di sekolah-sekolah.

Kajian-kajian lepas telah banyak melaporkan tentang kepentingan pentaksiran sekolah dalam membantu proses pembelajaran. Namun, keberkesanannya bergantung kepada faktor-faktor seperti i) sikap, orientasi dan falsafah guru terhadap pelajar dan proses pengajaran-pembelajaran, ii) latihan, pengetahuan dan kemahiran guru dalam bidang pentaksiran pendidikan, iii) iklim bilik darjah dan iv) polisi pendidikan (Pajares; 1992; Stiggins & Conklin, 1992; Title, 1994). Beberapa pengkaji seperti Black dan William (1998), Stiggins (1999a) dan Arter (2003) dalam laporan mereka mengesahkan bahawa faktor literasi pentaksiran guru merupakan kriteria penting ke arah memperkaya pengalaman pembelajaran seterusnya mencapai pendidikan yang berkualiti.